Rabu, 27 Januari 2016 | 2:55pm

Penyelidik USM cipta konkrit tanpa simen

CHEE Ban (kanan) bersama petugasnya menunjukkan bahan yang digunakan iaitu serbuk kayu, serbuk arang dan serbuk serkam padi untuk membuat komposit konkrit tanpa simen yang berupaya mengurangkan tapak karbon dan tenaga pembuatan berbanding dengan bahan konkrit sedia ada pada sidang media di USM hari ini. - Foto BERNAMA

GEORGETOWN: Kumpulan penyelidik Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta komposit konkrit tanpa simen, menggunakan 100 peratus bahan buangan industri.

Ketua Penyelidiknya, Dr Cheah Chee Ban, berkata komposit yang dihasilkan berupaya mengurangkan tapak karbon dan tenaga pembuatan berbanding bahan konkrit sedia ada.

"Komposit ini boleh digunakan sebagai bahan pembuatan blok atau struktur bangunan, blok untuk kerja geoteknik, blok penurap dan bata dinding bangunan.

"Hasil ciptaan unik ini juga mampu mengurangkan tahap kealkalian dan hakisan kimia berbanding konkrit biasa yang digunakan industri ketika ini," katanya pada sidang media di Bangunan Canselori USM, sebentar tadi.

Difahamkan, komposit itu menggunakan bahan buangan industri dari kilang kayu, kilang padi, kilang besi dan stesen janakuasa elektrik.

Chee Ban berkata, pihaknya memulakan penyelidikan membangunkan komposit itu sejak tahun 2012.

"Satu meter isipadu konkrit tanpa simen ini akan dipasarkan mulai Jun depan, pada harga RM150 hingga RM170 berbanding RM180 hingga RM250 bagi satu meter isipadu konkrit simen," katanya.

Berita Harian X