Khamis, 14 Januari 2016 | 1:51pm

Lima tokoh kongsi pengalaman bersama Tun Razak

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Pengurus Pusat Sumber New Straits Times Press (NSTP), Ramlan Ramli memberi penerangan ketika melawat pameran gambar Tun Abdul Razak yang pernah disiarkan di akhbar Kumpulan The New Straits Times Press sempena Seminar Peringatan Khas Tun Abdul Razak di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Pengurus Pusat Sumber New Straits Times Press (NSTP), Ramlan Ramli memberi penerangan ketika melawat pameran gambar Tun Abdul Razak yang pernah disiarkan di akhbar Kumpulan The New Straits Times Press sempena Seminar Peringatan Khas Tun Abdul Razak di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Lima tokoh negara yang rapat dengan Tun Abdul Razak Hussein berkongsi pentas sama menceritakan pengalaman masing-masing ketika berkhidmat dengan Perdana Menteri kedua.

Kelima-lima tokoh besar negara itu hadir pada sesi diskusi bertajuk Membentuk Jalinan Politik Baharu Bagi Pembangunan Negara: Cabaran dan Isu, antara lain memberi fokus pada perpaduan dan pembentukan Barisan Nasional (BN).

Mereka ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta bekas Setiausaha Parlimen kepada Tun Abdul Razak, Tan Sri Michael Chen; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz.

Panel diskusi lain Pengerusi Tenaga Nasional yang juga bekas Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Leo Moggie dan bekas Setiausaha Politik kepada Tun Abdul Razak, Tan Sri Abdullah Ahmad yang diwakili isterinya, Puan Sri Fauziah Mohd Darus.

Moderator bagi sesi diskusi berkenaan ialah Pengerusi The New Straits Times Press (M) Berhad yang juga bekas Pengerusi ISIS Malaysia, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan.

Dalam ucapannya, Abdullah mengakui Allahyarham sering bertemu orang ramai dan menasihati mereka supaya bekerja keras.

"Dengan tongkatnya, Allahyarham akan berjumpa dengan orang ramai dan dengan integriti yang dimiliki, beliau sering ingin memulangkan semula kejayaan diperoleh kepada rakyat," katanya.

Rafidah Aziz pula berkata, selepas tragedi 13 Mei 1969, Allahyarham merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat.

"Allahyarham juga pernah menggunakan istilah `bandarize' untuk membandarkan kawasan luar bandar," katanya.

Berita Harian X