Jumaat, 4 Disember 2015 | 9:47pm

PULARA 6 bincang bahasa Melayu, budaya

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto Supian Ahmad
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto Supian Ahmad

PULAU PANGKOR: Penganjuran Festival Puisi dan Lagu Rakyat Ke-6 (PULARA 6) diperluaskan dengan mengadakan perbincangan mengenai Bahasa Melayu dan budaya bersama tokoh terkemuka termasuk dari luar negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pengisian baharu itu mengupas isu kedudukan bahasa berkenaan dan usaha memartabatkannya di mata dunia.

"Pada kali ini kita memulakan program berkenaan (PULARA 6) dengan satu kelainan iaitu seminar yang membincangkan persoalan bahasa dan budaya oleh tokoh.

"Kita akan menjadikan perkara ini program tahunan dengan membawa ramai tokoh negara dan antarabangsa seperti Indonesia, Brunei dan banyak lagi ke sini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar PULARA 6 bertajuk 'Kelangsungan Upaya Bahasa Melayu Malaysia Mutakhir' di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Pengarah PULARA 6, Malim Ghozali PK.

Zambry berkata, program PULARA 6 akan terus memberi makna kepada perjuangan Bahasa Melayu dan budaya sekali gus menunjukkan kepada dunia akan kepentingan soal budaya.

Beliau berkata, seramai 300 sasterawan tempatan dan luar negara berkampung di pulau peranginan ini sempena PULARA 6.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan merasmikan acara kemuncak PULARA 6 di Arena Pangkor di sini malam esok.

Berita Harian X