Ahad, 15 November 2015 | 6:45pm

Graduan cacat penglihatan terima anugerah emas USM

MOHD Shahrizal Abdul Aziz dan M Ruvindiran. - Foto Ramdzan Masiam
MOHD Shahrizal Abdul Aziz dan M Ruvindiran. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Seorang graduan cacat penglihatan muncul sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM) untuk Pelajar Kelainan Upaya (PKU) sempena konvokesyen ke-52 universiti itu pada 17 hingga 21 November ini.

M Ruvindiran, 25, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial, berkata beliau tidak pernah berputus asa walaupun pernah gagal dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

"Walaupun saya pernah gagal STPM pada kali pertama, saya cuba bangkit untuk mengambil STPM kali kedua pada 2009 dan berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan pointer 3.50.

"Kegagalan itu sebenarnya permulaan bagi suatu kejayaan dan seseorang itu harus sentiasa komited dengan segala yang diusahakan," katanya ketika sesi perkenalan bersama Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Omar Osman, di sini hari ini.

Ruvindiran berkata, anugerah ini akan memberi dorongan kepada beliau dalam mengejar cita-citanya untuk menjadi pensyarah dalam bidang kaunseling.

Sementara itu, seorang lagi PKU Mohd Shahrizal Abdul Aziz, 32, berkata beliau amat berterima kasih kepada ibunya yang sentiasa memberi dorongan supaya beliau dapat menamatkan pengajian ini.

"Ketika saya dapat tahu yang saya lumpuh kekal separuh badan, saya seperti tidak dapat menerima kenyataan malah orang yang banyak memberi dorongan ketika itu ialah ibu saya.

"Alhamdulillah saya dapat menamatkan pengajian sehingga peringkat sekarang," kata Mohd Shahrizal yang juga seorang penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanik.

Beliau turut meminta golongan orang kelainan upaya (OKU) supaya berdikari dalam mencari pengalaman kerana kejayaan tidak datang sendiri.

"Saya berharap golongan OKU yang lain dapat memperbanyakkan penglibatan diri dalam aktiviti yang boleh meningkatkan motivasi diri kerana dari situ kita dapat membina kekuatan dan semangat dalam diri untuk maju ke depan," katanya.

Secara keseluruhan, USM bakal menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 5,665 graduan dan jumlah itu termasuk dua Ijazah Kehormat, satu Profesor Emeritus, 1,457 Ijazah Tinggi, 4,205 ijazah Pertama, 74 Diploma Kejururawatan dan tiga Ijazah Anumerta.

-- BERNAMA

Berita Harian X