Selasa, 3 November 2015 | 10:50am
NAJIB tiba pada majlis pembukaan WIEF ke-11 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin
NAJIB tiba pada majlis pembukaan WIEF ke-11 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Optimis capai pertumbuhan 4.5-5.5 peratus 2015 - PM

NAJIB menyampaikan ucaptama pada pembukaan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-11 di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
NAJIB menyampaikan ucaptama pada pembukaan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-11 di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal optimis negara mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara 4.5-5.5 peratus tahun ini meskipun berdepan persekitaran mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia berupaya untuk mencatat pelaburan langsung asing (FDI) pada paras rekod tahun ini jika jumlah FDI pada separuh kedua mencapai paras yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini.

Beliau berkata demikian pada pembukaan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-11 di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam.

Najib berkata, kewangan Islam kini semakin berkembang dan berada pada landasan kukuh untuk membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Setakat tahun lalu, pendedahan pembiayaan PKS dalam kewangan Islam di Malaysia berkembang 40.5 peratus dari tahun ke tahun kepada lebih AS$10 bilion.

Malah, katanya, kerajaan sudah lama memberi tumpuan dalam sektor PKS yang menjadi terbesar di negara ini dan menyumbang 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta 18 peratus kepada eksport.

Najib berkata, PKS adalah perniagaan keluarga. Dengan membantu mereka, secara langsung akan membantu keluarga membina asas mereka, menyediakan peluang untuk berkembang dari satu generasi kepada generasi akan datang dan sumber untuk akses pendidikan tinggi, tahap kesihatan yang lebih baik dan meningkatkan taraf hidup.

Najib berkata, PKS juga membabitkan wanita dan golongan belia. Dengan membantu PKS wanita, secara langsung akan meningkatkan kapasiti ekonomi keseluruhan komuniti dan masyarakat.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga secara konsisten menjadi penerbit sukuk terbesar di dunia.

Pada 2014, jumlah sukuk dunia berjumlah lebih AS$300 bilion dengan Malaysia mewakili AS$173 bilion atau 57.4 peratus daripada jumlah itu.

Berita Harian X