Ahad, 1 November 2015 | 4:29pm

Debat 1MDB wajar jika dapat jernihkan keadaan

MENTERI Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendukung cucunya ketika hadir bersama isteri Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah (kanan) untuk menyertai larian amal Malaysian United Run di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendukung cucunya ketika hadir bersama isteri Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah (kanan) untuk menyertai larian amal Malaysian United Run di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Debat terbuka mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) boleh diadakan jika ia dapat membantu memperjelaskan kepada orang ramai pelbagai isu membabitkan syarikat itu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, debat antara Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda dan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua tidak menjadi masalah untuk diadakan sekiranya ia boleh menjernihkan keadaan.

"Saya secara peribadi menyambut baik debat itu diadakan tetapi kalau ia menjurus kepada kemusnahan dan tidak ada perkara yang membina untuk orang ramai, saya bimbang bahawa ia tidak memberi manfaat kepada kita semua.

"Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bahawa isu 1MDB harus diselesaikan dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai acara larian amal Malaysian United Run anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Padang Merbuk, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Arul Kanda dalam satu kenyataan berkata, beliau sedia berdebat dengan Pua secara langsung di televisyen dengan syarat Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP itu meletak jawatan sebagai anggota PAC.

Peneraju 1MDB itu berkata demikian bagi menyahut cabaran Pua melalui blognya agar mereka mengambil bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung, dengan Pua menjadi pihak yang mengemukakan soalan.

Pada masa sama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia menyiarkan siaran langsung debat mengenai 1MDB antara Arul Kanda dan Tony Pua. - BERNAMA

Berita Harian X