Ahad, 1 November 2015 | 1:18pm

ATM sedia kerah aset hadapi musim tengkujuh - Hishammuddin

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Yazit Razali
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia mengerahkan asetnya bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda negara pada hujung tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah yang bakal diambil ATM itu telah dimaklumkan kepada Kabinet.

"ATM tidak teragak-agak untuk membantu dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi dengan satu syarat bahawa dalam apa jua yang kita lakukan janganlah menjejaskan keselamatan anggota ATM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai larian amal 'Malaysian United Run' anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Padang Merbuk, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, bersandarkan pengalaman musim tengkujuh lepas, pihak ATM telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku ketika tibanya musim tengkujuh.

"Kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku berkait dengan banjir tetapi ia memberi pengajaran dan persiapan awal ATM sekiranya hujung tahun ini dilanda dengan banjir besar lagi," katanya.

Larian amal sejauh 5km anjuran IOJ di Padang Merbuk itu disertai lebih 10,000 peserta daripada 17 institusi pengajian tinggi.

Ia turut mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat pelbagai kaum dengan penyertaan lebih 5,000 peserta yang menjadikan 'Malaysian United Run' sebagai larian yang teramai, sekali gus mencipta rekod dalam 'Malaysia Book of Records'.

- BERNAMA

Berita Harian X