Rabu, 28 Oktober 2015 | 4:05pm

RM10.75 juta pampasan bagi 518 kematian pekerja binaan asing

TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM10.75 juta nilai pampasan telah dilunaskan untuk 518 kes kematian pekerja warga asing di tempat kerja dalam sektor pembinaan sejak tahun 2006 hingga 30 September lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata daripada jumlah itu, pekerja asing dari Indonesia merekodkan kematian yang tertinggi dalam sektor pembinaan iaitu seramai 216 orang manakala Bangladesh di tempat kedua dengan 64 orang.

"Pekerja asing yang meninggal dunia semasa bekerja layak menerima wang pampasan sebanyak RM18,000, namun mengikut Perintah Pampasan Pekerja (Skim Pampasan Pekerja) (Insurans) 2005, tanggungan si mati layak mendapat sagu hati tambahan sebanyak RM7,000," katanya di Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) yang meminta penjelasan mengenai bilangan kematian dalam industri pembinaan sejak 2006 dengan pecahan nasionaliti mangsa, jumlah dan bentuk bayaran ganti rugi yang diberikan kepada pekerja migran yang mengalami kemalangan semasa bekerja.

Ismail berkata, jumlah bayaran yang dibuat bagi kes hilang upaya sementara bergantung kepada bilangan hari cuti sakit yang diberi manakala jumlah pampasan kepada kes hilang upaya kekal bergantung kepada bilangan hari cuti sakit, bahagian anggota tercedera kekal dan peratusan kecacatan kekal yang disahkan pengamal perubatan.

Menjawab soalan tambahan Dr Jeyakumar, Ismail berkata sehingga 30 September lepas sebanyak 3,670 tindakan perundangan telah diambil oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) terhadap majikan yang cuai sehingga menyebabkan keselamatan pekerja warga asing di tempat binaan terjejas.

"Tindakan yang diambil merangkumi pengeluaran notis, kompaun dan pendakwaan di Mahkamah ke atas majikan yang gagal mematuhi peruntukan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerja," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Noor Azmi Bin Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai jumlah pekerja asing berdaftar di seluruh negara, Ismail berkata sehingga kini sebanyak 1.9 juta pekerja asing yang berdaftar secara sah dari pelbagai negara dalam pelbagai sektor pekerjaan berada di negara ini.

Beliau berkata, keselamatan semua pekerja asing khususnya di tapak pembinaan sentiasa terjamin dan JKPP sentiasa menjalankan pemeriksaan tapak binaan secara berkala, memberikan taklimat keselamatan kepada pekerja dan orang yang terlibat dengan kawasan pembinaan.

"Bagi mereka yang menjalankan tanggungjawab penyeliaan keselamatan pekerja, mereka disyaratkan untuk mempunyai kad hijau yang dikeluarkan oleh JKPP," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X