Khamis, 22 Oktober 2015 | 3:01pm

Jawatankuasa Pakar kaji prosedur semasa industri pembinaan

TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya sudah menubuhkan Jawatankuasa Pakar untuk mengkaji semula prosedur dan amalan semasa dalam industri pembinaan.

Timbalan Menteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata jawatankuasa khas ini bertindak mengenal pasti aspek kelemahan yang terbabit dan mencadangkan penambahbaikan dalam peraturan serta amalan prosedur kerja (SOP) sedia ada.

"Hasil kajian ini sudah dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan pada masa kini tindakan susulan sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh pemain industri yang terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) yang ingin tahu apakah penguatkuasaan yang dilaksanakan kementerian untuk mengelakkan isu keselamatan di tapak pembinaan tidak diperkecilkan dan terma keselamatan di tapak pembinaan dipenuhi di Dewan Rakyat, hari ini.

Rosnah berkata, di samping itu, Jemaah Menteri juga sudah bersetuju dengan cadangan kementerian untuk menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Antara Agensi bagi menyiasat runtuhan bangunan dan insiden pembinaan.

"Jawatankuasa ini akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden di tapak pembinaan melalui perkongsian maklumat. Perundangan dan kepakaran.

"Platform ini bertindak secara terbuka dan telus dengan memastikan pemilik projek menjalankan tugasan mereka dengan penuh tanggungjawab selain memastikan keselamatan pekerja pembinaan dan pengguna di sekitar tapak pembinaan terjamin,' katanya

Berita Harian X