Isnin, 19 Oktober 2015 | 5:10pm

AMSAS diiktiraf sebagai prasana latihan antarabangsa

Laman sesawang Maritim Malaysia https://www.mmea.gov.my
Laman sesawang Maritim Malaysia https://www.mmea.gov.my

KUANTAN: Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila prasarana di situ digunakan oleh polis antarabangsa (Interpol) untuk Projek Interpol Litmus-Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives (CBRNE).

Pengarah Pendidikan dan Latihan AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Taha Ibrahim berkata, program kerjasama selama lima tahun itu membabitkan 24 pegawai polis Pakistan, enam orang pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua orang pegawai penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

"Sebelum ini Interpol menggunakan AMSAS sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti kursus dengan hanya membabitkan pegawai dari dalam negara ini sahaja.

"Namun kali ini buat julung kalinya mereka menggunakan kemudahan yang tersedia di AMSAS untuk menganjurkan kursus yang turut membabitkan pegawai penguatkuasa dari luar negara dengan semua perbelanjaan ditanggung oleh mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Interpol Projek Litmus-CRBNE di sini, hari ini.

Program itu adalah latihan operasi penguatkuasaan yang bertujuan meningkatkan kemampuan dan kemahiran pihak berkuasa dalam mengambil tindakan awalan kes, mengenal pasti, menyiasat, mendakwa salahlaku penggunaan ejen kimia.

Selain itu ia juga membolehkan pihak berkuasa mengesan dan mengenalpasti kehadiran bahan toksik dan ejen bahan letupan kimia yang disalahgunakan oleh penjenayah dan kumpulan penjenayah.

Mohad Taha berkata, pemilihan AMSAS sebagai tempat penganjuran kursus itu adalah sejajar dengan hasrat AMSAS menjadi sebuah pusat latihan di bawah Malaysian Technical Coorperation Program (MTCP) dan sebagai sebuah institut latihan awam (ILA).

"Hal ini juga selaras projek AMSAS untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Maritim yang terunggul di rantau ini," katanya.

Selain Interpol, AMSAS juga bercadang mengadakan kerjasama dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) untuk mengadakan sesi latihan bersama pada masa akan datang. - BERNAMA

Berita Harian X