Selasa, 6 Oktober 2015 | 3:48pm
MENTERI Perdagangan dan Industri (Perdagangan) Singapura, Lim Hng Kiang. - Foto AFP
MENTERI Perdagangan dan Industri (Perdagangan) Singapura, Lim Hng Kiang. - Foto AFP

TPP bakal ubah rantau ini, lebih inklusif

SINGAPURA: Perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dijangka mengubah rantau ini, kata Menteri Perdagangan dan Industri (Perdagangan) Singapura, Lim Hng Kiang.

Beliau berkata, TPP memiliki apa yang Singapura lihat sebagai masa depan Asia-Pasifik.

Katanya, ia akan mengubah rantau ini dengan mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif bagi kedua-dua barangan dan perkhidmatan, menggalakkan pelaburan yang lebih besar, dan menangani cabaran perdagangan baharu dalam ekonomi moden.

"TPP juga sengaja dibentuk untuk menjadi lebih inklusif, agar perusahaan kecil dan sederhana boleh mengambil kesempatan penuh daripada faedah-faedahnya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri, di sini, hari ini.

Selepas rundingan selama lima setengah tahun, Singapura dan 11 negara lain, Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam, berjaya memuktamadkan rundingan bagi TPP pada 5 Oktober di Atlanta, Georgia (Amerika Syarikat).

TPP ialah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serantau komprehensif dan berstandard tinggi yang akan meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan antara negara-negara terbabit serta menyepadukan rantau itu menjadi satu pasaran dan asas pembuatan tunggal.

Syarikat Singapura akan mendapat manfaat daripada peningkatan akses pasaran dengan semua 11 negara TPP lain.

TPP akan menyediakan peraturan perdagangan yang dikemas kini dan baharu untuk memberi jaminan kepada pelabur dan perdagangan Singapura persekitaran yang lebih terbuka, dapat diramal dan telus dalam pasaran serantau yang sedang pesat berkembang.

Peraturan kukuh dan seimbang untuk menggalakkan persaingan adil dan tadbir urus korporat yang baik, menggalakkan inovasi dan mengembangkan ekonomi digital, akan mewujudkan lebih banyak peluang serta membolehkan syarikat yang berpangkalan di Singapura beroperasi di rantau ini dengan lebih mudah dan yakin.

Negara-negara TPP mewakili sebuah pasaran yang besar bagi perniagaan Singapura dan secara kolektifnya adalah rakan dagangan penting Singapura yang terdiri daripada rakan dagangan terbesar negara seperti Malaysia, Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Vietnam.

Pada 2013, negara-negara TPP menyumbang 30 peratus daripada jumlah perdagangan barangan Singapura, bernilai S$300 bilion, dan 30 peratus daripada pelaburan langsung asing negara sebanyak S$240 bilion. - BERNAMA

Berita Harian X