Sabtu, 3 Oktober 2015 | 5:24pm

Tabung kewangan khas bantu sekolah agama

KUANTAN: Sebuah tabung kewangan khas akan diwujudkan bagi membantu sekolah-sekolah agama yang dikelolakan oleh Persidangan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (LEPAI) yang sering mengalami masalah kewangan.

Pengerusinya, Tan Sri Profesor Dr Mohd Yusof Noor, berkata kewujudan tabung berkenaan akan memudahkan pihak sekolah melakukan pelbagai urusan yang melibatkan perbelanjaan seperti menaik taraf infrastruktur serta membiayai perbelanjaan harian sekolah berkenaan.

"Dengan wujudnya tabung ini kita percaya ia akan menyelesaikan masalah kewangan yang sering dihadapi oleh sekolah-sekolah berkenaan khususnya dalam melunaskan keperluan guru-guru, pelajar dan sekolah.

"Tabung ini akan diteliti dahulu oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sebelum ia dilancar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Persidangan LEPAI ke-45 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata pihaknya yakin dengan langkah ini akan lebih banyak organisasi, syarikat-syarikat swasta serta pihak persendirian dan individu menyampaikan sumbangan mereka kepada sekolah-sekolah berkenaan.

"Ia juga secara tidak langsung dapat menghapuskan rasa tidak puas hati di kalangan pihak sekolah dengan jumlah peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan kerana sebelum ini mereka hanya bergantung kepada bantuan kerajaan sebagai sumber kewangan utama mereka," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X