Jumaat, 2 Oktober 2015 | 7:35pm

Penjagaan kanak-kanak berasaskan keluarga akan diperkenal - Rohani

ROHANI menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Ketua Pengarah JKM, Datuk Zulkiply Ramli (dua dari kiri) ketika merasmikan Rumah Kanak Kanak Mini Ulu Tiram, Johor Bahru. - Foto Dazar Suarman
ROHANI menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Ketua Pengarah JKM, Datuk Zulkiply Ramli (dua dari kiri) ketika merasmikan Rumah Kanak Kanak Mini Ulu Tiram, Johor Bahru. - Foto Dazar Suarman

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat memperkenalkan pendekatan Penjagaan Berasaskan Keluarga sebagai menggantikan penempatan kanak-kanak di institusi kebajikan seperti sedia ada.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata Penjagaan Berasaskan Keluarga dengan menempatkan kanak-kanak di dalam jagaan ibu bapa atau penjaga gantian itu akan dilakukan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagi melaksanakan tujuan itu, JKM akan mengadakan perancangan secara menyeluruh sama ada jangka pendek atau jangka panjang bagi memastikan pendekatan itu dapat dilaksanakan dengan teratur," katanya pada majlis perasmian Rumah Kanak-Kanak (RKK) Mini Ulu Tiram, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff dan Ketua Pengarah JKM, Datuk Zulkiply Ramli.

Rohani berkata, berdasarkan kajian, pendekatan baharu itu menunjukkan kanak-kanak mengalami proses tumbesaran yang lebih sihat dan sempurna melalui persekitaran kekeluargaan.

Beliau berkata, penjagaan berasaskan kekeluargaan itu telah dilaksanakan di beberapa negara seperti United Kingdom, Moldova serta Kemboja.

Katanya, sebagai permulaan JKM telah melaksanakan pendekatan Penjagaan Berasaskan Keluarga dengan menempatkan seramai 26 kanak-kanak dalam jagaan ibu, bapa atau keluarga pelihara.

Beliau turut menyeru semua pihak sentiasa bekerjasama dalam menangani isu berkaitan kanak-kanak memandangkan ia bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata sebaliknya menjadi tanggungjawab pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat mahupun golongan individu.

Sementara itu, Asiah menerusi ucapannya berkata RKK Mini Ulu Tiram yang dibuka Jun lepas dan mampu menempatkan sehingga 30 kanak-kanak, adalah RKK Mini kedua yang diwujudkan di negara ini selepas Kelantan.

Beliau berkata, RKK Mini diwujudkan bertujuan untuk memberi pemeliharaan dan perlindungan gantian kepada kanak-kanak serta menggalakkan perkembangan fizikal, emosi dan mental secara sihat dalam suasana tenteram dan selamat.

"Kanak-kanak lelaki dan perempuan yang diterima masuk di RKK Mini adalah yang berumur 12 tahun ke bawah dengan perintah mahkamah di bawah Seksyen 19 dan 30 Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Menurut Asiah, antara perkhidmatan yang disediakan di RKK Mini ialah pemeliharaan dan perlindungan, bimbingan dan kaunseling, pendidikan, didikan agama dan moral, aktiviti riadah dan rekreasi serta kemudahan rawatan dan perubatan.

- BERNAMA

Berita Harian X