Sabtu, 12 September 2015 | 7:26pm

Najib mahu pemimpin UMNO pastikan 3 juta ahli terus beri sokongan

SEBAHAGIAN perwakilan UMNO Bahagian Pekan berikrar taat setia kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan 2015 di Dewan Konvensyen Pekan.- Foto Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN perwakilan UMNO Bahagian Pekan berikrar taat setia kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan 2015 di Dewan Konvensyen Pekan.- Foto Luqman Hakim Zubir

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mahu pemimpin UMNO terutama di akar umbi memastikan semua tiga juta ahlinya terus memberi sokongan padu dan tidak berpecah bagi menghadapi pilihan raya akan datang.    

Presiden UMNO itu mengingatkan ahli parti perlu memiliki sifat kekeluargaan yang jitu kerana perpecahan boleh menyebabkan parti tewas pada pilihan raya.  

Perdana Menteri berkata, pemimpin UMNO juga perlu telus melaporkan perkara sebenar di kawasan masing-masing sama ada yang baik atau sebaliknya.  

"Ceritakan yang sebenar...bantu rakyat dan selesaikan masalah mereka dengan jujur dan ikhlas.  

"Bagi Parlimen Pekan...tolong beritahu saya jika ada masalah seperti bekalan air atau sebagainya. Saya tidak mahu hanya dapat laporan semua OK tetapi sebenarnya tidak OK.

"Kita tidak boleh anggap penyokong tegar UMNO tidak perlu pembelaan sewajarnya," katanya ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan, di sini semalam.     

Perdana Menteri turut mengingatkan ahli supaya sentiasa peka dengan perubahan semasa terutama penggunaan media sosial yang menjadi alat untuk menyebarkan maklumat dengan pantas dan meluas.  

Beliau berkata, parti itu perlu menggunakan senjata baru untuk menangkis serangan pelbagai pihak yang mahu menjatuhkan parti dan kerajaan.  

"Kita perlu imbas kembali sejarah bagaimana kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka kepada penjajah Portugis.

"Tentera Portugis yang ketika itu memiliki meriam dan senapang walaupun bilangannya kecil dapat menewaskan tentera kerajaan Melaka yang jumlahnya ramai tetapi bersenjatakan keris dan tombak," katanya.

Berita Harian X