Sabtu, 12 September 2015 | 2:59pm

Kali terakhir ibu hubungi ayah selepas Jumaat - Siti Hamimi

ROHANA Ismail dilaporkan hilang dalam kejadian kren runtuh di Masjidil Haram, Makkah.
ROHANA Ismail dilaporkan hilang dalam kejadian kren runtuh di Masjidil Haram, Makkah.

KUALA LUMPUR: Seorang jemaah haji wanita yang dilaporkan hilang dalam kejadian kren runtuh di Masjidil Haram, Makkah dikatakan kali terakhir berhubung dengan suaminya yang juga jemaah haji petang semalam selepas solat Jumaat.

Perkara itu disahkan anaknya, Siti Hamimi Mohd Noor, 27, ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi.

Mangsa, Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai dikatakan sempat memaklumkan kepada suaminya, Muhammad Noor, 56, sebelum keluar bersama rakan jemaah yang lain dengan menaiki dua kenderaan untuk menunaikan solat di Masjidil Haram.

"Ibu hubungi abah untuk keluar solat di Masjidil Haram bersama rakannya selepas abah menunaikan solat Jumaat. Selepas terdengar insiden runtuhan kren di Masjidil Haram, abah ada hubungi ibu selepas itu tetapi tidak dapat.

"Abah tidak putus-putus hubungi ibu dari petang semalam tetapi hingga kini ibu gagal dikesan," katanya yang turut menyertai ahli keluarga yang lain menghantar ibu bapanya ke Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya pada 9 September lalu.

Siti Hamimi berkata, pihak Tabung Haji (TH) ada menghubungi keluarganya pagi tadi dan memaklumkan mengenai perkara itu.

"Selepas diberitahu mengenai kehilangan ibu, hati saya jadi takut, tergamam, ...sebab baru beberapa hari lalu kami hantar ibu dan abah. Macam tak percaya perkara ini akan berlaku.

"Saya harap semua rakyat Malaysia mendoakan keselamatan ibu saya dan dapat ditemui dengan selamat," katanya yang memaklumkan kali terakhir berhubung dengan ayahnya di Makkah ketika waktu Subuh pagi tadi.

Rohana adalah antara enam mangsa yang disahkan masih belum dapat dikesan setakat jam 4 pagi tadi susulan kejadian itu.

Lima lagi jemaah yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman (68), Sik, Kedah; Shahidan Saad (52), Kodiang, Kedah; Zainun Taha (69), Ampang, Selangor; Munah Jusoh ( 73), Cherang Ruku, Kelantan dan Siti Nurolshlizan Zolkifli (37), Tanah Merah, Kelantan.

Dalam kejadian jam 5 petang waktu tempatan itu, seramai 107 terkorban manakala 238 jemaah cedera termasuk 10 rakyat Malaysia.

Mengikut pengurusan Masjidil Haram, Makkah, kejadian bermula dengan ribut pasir dan hujan lebat, menyebabkan kren tumbang berhampiran pintu As Salam bersebelahan bangunan Sa'ie dan menyebabkan sebahagian rangkanya jatuh di bangunan Sa'ie berdekatan mataf.

Berita Harian X