Ahad, 12 Julai 2015 | 11:33am

JBPM guna aset baharu tangani kebakaran hutan

KETUA Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. - Foto Khairunisah Lokman
KETUA Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. - Foto Khairunisah Lokman

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dilengkapi aset baharu untuk pengembelengan lebih berkesan mengawal kebakaran hutan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata aset baharu itu membabitkan 240 set jentera kebakaran hutan, 50 unit pam mudah alih dan 100 unit empangan mudah-alih.

"Peralatan baharu ini adalah tambahan kepada peralatan sedia ada," katanya.

Beliau berkata, semua aset berkenaan yang bernilai RM10.8 juta diterima JBPM pada penghujung tahun lalu adalah berguna untuk mengawal kebakaran hutan gambut.

Wan Mohd Nor berkata, JBPM membuat permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan peralatan baharu setelah membuat penilaian dari segi aset dan kemampuan jabatan selepas musim kemarau pada awal tahun lalu.

Laporan media baru-baru ini menyebut cuaca panas dan kering sudah bermula dan dijangka berterusan hingga hujung Ogos ini kerana negara sedang melalui fasa aktif monsun barat daya.

Wan Mohd Nor berkeyakinan JBPM dapat menangani masalah kebakaran hutan dengan lebih baik pada tahun ini berdasarkan pengalaman tahun lalu dan dengan adanya aset baharu berkenaan.

"Persediaan JBPM untuk cuaca panas dan kering tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lalu," katanya.

Tahun lalu, JBPM dilaporkan menerima kira-kira 10,000 laporan berkaitan kebakaran dalam tempoh sebulan di seluruh negara berikutan cuaca panas dan kering.

Turut dilaporkan ialah pusat panggilan kecemasan bomba di seluruh negara menerima sehingga 500 panggilan sehari bersabit pelbagai jenis kebakaran.

Kebakaran membabitkan hutan, belukar dan lalang antara kes paling tinggi yang diterima ketika cuaca panas tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X