Jumaat, 3 Julai 2015 | 3:56pm
PENGGUNA jalan raya terpaksa memberhentikan kenderaan mereka kerana jerebu tebal.
PENGGUNA jalan raya terpaksa memberhentikan kenderaan mereka kerana jerebu tebal.
KEADAAN jerebu akibat kebakaran hutan paya gambut.
KEADAAN jerebu akibat kebakaran hutan paya gambut.
PENGGUNA jalan raya terpaksa memberhentikan kenderaan mereka kerana jerebu tebal.
PENGGUNA jalan raya terpaksa memberhentikan kenderaan mereka kerana jerebu tebal.

Hutan paya gambut terbakar, Kuala Baram berjerebu

MIRI: Kebakaran hutan paya gambut di kawasan berhampiran Universiti Teknologi Curtin, Senadin, sejak dua hari lalu kini mula mengakibatkan jerebu di kawasan Kuala Baram, bersempadan dengan negara jiran Brunei.

Lebih 30 hektar hutan paya gambut di kawasan itu sudah terbakar dan api sukar dipadamkan kerana tiada akses jalan raya dan cuaca kering.

Tinjauan BH mendapati kebakaran berlaku di lokasi sama seperti yang pernah terjadi sebelum ini dan api sukar dikawal kerana hutan di situ kering dan jauh daripada kawasan jalan raya.

Dua lagi kawasan hutan yang turut terbakar ialah di kawasan berhampiran Hulu Sungai Miri dan Desa Indah.

Sekiranya, usaha untuk mengawal api daripada merebak tidak dilakukan segera ia dikhuatiri akan mengakibatkan jerebu serius seperti musim kemarau tahun lalu.

Seorang penduduk, Senadin, Rasan Maligai, 45, berkata jerebu sudah mula dirasai sejak kelmarin akibat kebakaran hutan berhampiran kawasan Universiti Teknologi Curtin.

"Kita minta supaya usaha awal dilakukan untuk memadamkan kebakaran berkenaan sebelum terlewat. Ketika cuaca panas sekarang begitu sukar untuk kita padamkan api terutama di kawasan hutan paya gambut.

"Setiap kali musim kemarau Miri tidak pernah terkecuali daripada dilanda jerebu. Satu usaha yang lebih tegas harus diambil untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan," katanya kepada pemberita, di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin, berkata pemantauan sudah dibuat sebagai langkah berjaga mengelak lebih banyak berlaku kebakaran hutan di utara Sarawak.

Beliau mahu penduduk di utara negeri ini memberikan kerjasama mengelak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca kering sekarang.

"Peringatan ini bukan kali pertama dibuat. Kita perlukan kerjasama semua penduduk di utara negeri ini supaya jerebu serius dapat dielakkan," katanya.

Berita Harian X