Selasa, 30 Jun 2015 | 9:11am

Jual hingga 7,500 bungkus bubur lambuk sehari

KUALA LUMPUR, 28 Jun -- Pengusaha bubur lambuk Pak Hassan, Abu Bakar Mohamad. - Foto BERNAAMA
KUALA LUMPUR, 28 Jun -- Pengusaha bubur lambuk Pak Hassan, Abu Bakar Mohamad. - Foto BERNAAMA

KUALA LUMPUR: 'Bubur Lambuk Pak Hassan', Kampung Baru laris dijual hingga 7,500 bungkus sehari pada harga RM2 sebungkus pada Ramadan.

Pengusahanya, Abu Bakar Mohamad, 69, atau lebih terkenal sebagai Hassan, berkata kira-kira 30 periuk besar bubur lambuk dihasilkan pada setiap hari bekerja dan sekurang-kurangnya 15 periuk besar pada hujung minggu dengan anggaran kos antara RM200 dan RM250 setiap periuk.

Mengikut Hassan, permintaan akan meningkat apabila terdapat pesanan daripada syarikat korporat.

"Pada hari pertama puasa tahun ini, kami menghasilkan 31 periuk besar bubur lambuk dan paling banyak mencecah 39 periuk besar pada minggu kedua puasa.

"Satu periuk besar dapat menghasilkan sebanyak antara 250 dan 260 bungkus bubur lambuk," katanya.

Rutin harian Hassan memasak bubur lambuk pada bulan Ramadan ini bermula selepas solat Subuh dengan dibantu 24 petugas termasuk ahli keluarga dan jiran.

Hassan yang berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah dan merantau ke ibu kota sejak 19 tahun lalu, berkata ilham untuk menghasilkan bubur lambuk Pak Hassan tercetus pada 1983 sempena bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru.

Pada tahun berikutnya dia memberanikan diri untuk mengusahakan bubur lambuknya sendiri dan dari tahun ke tahun usaha gigih beliau mendapat sambutan yang menggalakkan.

Mengenai persaingan dengan peniaga lain, Hassan tiada masalah dengan perkara itu kerana sentiasa menjaga kualiti bubur yang dihasilkan.

"Walaupun mempunyai ramai kakitangan untuk membantu, hanya saya seorang yang akan memasak bagi memastikan rasa bubur sekata dan terkawal," katanya.

Seorang pelanggan, Mohd Khusairi Alias, 50, dari Cheras berkata sejak dari zaman bujang hingga sudah mendirikan rumah tangga, hampir saban tahun dia akan ke Kampung Baru semata-mata untuk membeli bubur lambuk kerana rasa buburnya yang bukan sahaja sedap malah tidak berubah sejak dahulu.

Pengurus Operasi F&B sebuah hotel di ibu kota, Mohd Fadzli Mohd Anif, 39, pula berpendapat bubur lambuk Pak Hassan menjadi pilihannya dan rakan-rakan setiap tahun kerana harganya berpatutan dan pernah memesan sebanyak empat periuk untuk pejabatnya. - BERNAMA

Berita Harian X