Khamis, 25 Jun 2015 | 4:57pm

4 nelayan hilang ditemui selamat

EMPAT nelayan Dari Penaga yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Dan dibawa ke Kuala Kedah, semalam. - Foto Ihsan APMM
EMPAT nelayan Dari Penaga yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Dan dibawa ke Kuala Kedah, semalam. - Foto Ihsan APMM

KEPALA BATAS: Empat nelayan dari Penaga yang dilapor hilang selepas enjin bot mereka rosak semalam, ditemui selamat di perairan antarabangsa berhampiran Kuala Perlis, tengah hari tadi.

Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Perai, Mahadi Md Radzi, berkata seorang daripada nelayan berkenaan menghubungi isterinya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu bahawa mereka selamat.

"Bot mereka yang rosak enjin hanyut hingga perairan antarabangsa berhampiran Kuala Perlis dan ditemui sebuah bot nelayan dari Thailand yang menunda bot mereka ke Jeti Kuala Perlis," katanya kepada pemberita di Jeti Kuala Penaga di sini, hari ini.

Empat nelayan yang dilapor hilang semalam ialah tekong bot Azli Said, 36; Saiful Md Noor, 32; Azman Ali, 30-an; dan Mohd Zulfaizul Mohd Saqid, 35. Mereka keluar ke laut dari Penaga kira-kira 8 pagi semalam dan beberapa nelayan memberitahu ternampak bot itu dibawa ombak.

"Ada nelayan yang cuba membantu tetapi tidak berjaya dan mereka balik ke jeti beritahu kami (persatuan nelayan) sebelum saya maklumkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan polis.

Dalam jam 4 petang tiga bot nelayan turut keluar mencari mereka.

Bagaimanapun sehingga tengah malam tadi bot nelayan, APMM dan sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu gagal mengesan bot nelayan itu berikutan cuaca berjerebu dan ombak kuat," kata Mahadi.

Sementara itu, isteri Saiful, Noor Hamduna Saidin, 26, berkata tiada kata yang dapat diluahkan sebaik menerima SMS daripada suaminya yang memberitahu beliau selamat dan bot mereka sedang ditunda ke Jeti Kuala Perlis.

"Alhamdulilah, segala debaran dan perasaan susah hati sejak semalam hilang sekelip mata sebaik mendapat berita suami selamat. Saya memang tunggu suami di Jeti Kuala Penaga sejak pukul 6 petang semalam hingga hari ini," kata penjawat awam itu.

Bapa mertua kepada Mohd Zulfaizul yang turut berada di Jeti Kuala Penaga, Abdul Razak Ahmad, 60, berkata beliau sekeluarga langsung tidak tidur sejak semalam kerana risaukan keselamatan menantunya itu.

"Selepas depa (mereka) bagi tahu bot nelayan itu hilang, isterinya (Nor Adira) asyik menangis sejak petang semalam, kami semua langsung tidak tidur kerana risau. Alhamdulillah hari ini semuanya selamat, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X