Ahad, 14 Jun 2015 | 3:47pm

Hanya 2.2 peratus rakyat malaysia menderma darah - Dr Subramaniam

KEMPEN Derma Darah anjuran CP Group Malaysia mendapat sambutan pengunjung Pasaraya Tesco Extra Desa Tebrau. - Foto Redzuan Muharam
KEMPEN Derma Darah anjuran CP Group Malaysia mendapat sambutan pengunjung Pasaraya Tesco Extra Desa Tebrau. - Foto Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: Hanya 2.2 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia menderma darah berbanding 3.5 hingga 5 peratus yang dicatatkan di negara maju, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang takut menderma darah kerana bimbang akan memudaratkan kesihatan.

Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 675,315 beg darah berjaya dikutip daripada penderma darah di seluruh negara, yang telah diproses dan digunakan untuk merawat 337,807 pesakit yang memerlukan.

"Ini bermakna secara purata kita perlu menyediakan hampir 2,000 beg darah bagi kegunaan 925 pesakit setiap hari di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat kebangsaan 2015 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Subramaniam berkata kesedaran rakyat negara ini mengenai pentingnya menderma darah perlu sentiasa ditingkatkan meskipun jumlah penderma bertambah setiap tahun.

"Bagi mereka yang belum pernah menderma darah, mereka perlu diberi kesedaran yang lebih tinggi mengenai kebaikan menderma darah.

"Kadang-kadang orang ramai bimbang apabila derma darah ini akan mendatangkan kesan sampingan dan sebagainya kepada mereka...tidak perlu bimbang kerana pemeriksaan saringan akan dilakukan terlebih dahulu sama ada mereka boleh menderma darah atau tidak," katanya.

Pada bulan Ramadan tidak lama lagi, Dr Subramaniam menggalakkan individu Muslim yang ingin menderma darah untuk mengambil makanan yang agak berat semasa bersahur, dan menderma darah pada waktu pagi.

"Semua lapisan masyarakat digalakkan tampil menderma darah bagi membantu memastikan bekalan darah mencukupi di semua hospital pada bulan Ramadan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X