Khamis, 21 Mei 2015 | 12:06pm

95 peratus kawasan nikmati liputan jalur lebar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 95 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia disasar menikmati liputan infrastruktur jalur lebar melalui inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Menurut rancangan lima tahun dari 2016 hingga 2020 itu, infrastruktur digital bukan saja penting dalam menghubungkan orang ramai melalui saluran komunikasi, tetapi juga menjadi asas pembangunan ekonomi menerusi industri berinsentifkan pengetahuan.

RMK11 bertemakan 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' itu yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, menyentuh inisiatif infrastruktur utama seperti Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi 2 (HSBB 2), Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan Televisyen Terestrial Digital (DTT) di samping menambah baik dasar berkaitan rangka kerja harga capaian dan perlindungan pengguna.

HSBB 2 dijangka meliputi semua ibu negeri dan kawasan pertumbuhan berimpak tinggi terpilih dengan penyediaan jalur lebar 100 megabit sesaat (Mbps) kepada semua isi rumah di kawasan berkenaan menjelang 2020.

Mengikut perancangan, 250,000 ports yang melalui 410,000 premis akan dipasang menjelang akhir 2016. Di bawah program SUBB yang merangkumi kawasan pinggir bandar dan luar bandar, 420,000 ports tambahan melalui 750,000 premis akan dipasang dalam tempoh lima tahun projek bermula yang menyediakan jalur lebar 20 Mbps kepada 50 peratus isi rumah di kawasan berkenaan.

Turut menjadi sasaran RMK11 ialah meningkatkan kapasiti lebar jalur antarabangsa hingga pada capaian peringkat akhir untuk memenuhi jangkaan permintaan sebanyak 41 terabait sesaat (Tbps).

Dalam mengintegrasikan perancangan infrastruktur digital, kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan diperkukuh.

Di bawah rancangan itu, tumpuan akan diberi untuk menggalakkan perkongsian infrastruktur dan pelaksanaan jalur lebar yang lancar pada kos rendah dan standard.

Menyentuh teknologi DTT yang menawarkan kualiti penyiaran lebih baik berbanding sistem analog, dokumen itu berkata fasa kedua DTT akan dilaksanakan dalam tempoh 2016-2017 meliputi 46 kawasan di seluruh negara termasuk 24 di Sabah dan Sarawak, sekali gus memberi peluang kepada lebih banyak isi rumah untuk memilih antara DTT dan televisyen satelit.

Dalam pada itu, RMK11 menyasarkan 99 peratus penduduk mendapat bekalan air bersih dan terawat menjelang 2020 selain usaha dilakukan untuk mengurangkan air tidak berhasil kepada 25 peratus berbanding 36.6 peratus pada 2013.

Sistem bekalan air altenatif seperti penuaian air hujan, telaga tiub dan sistem penyaluran air graviti akan diperluas di luar bandar terutama di Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak. -BERNAMA

Berita Harian X