Sabtu, 25 April 2015 | 11:14am
MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kelantan cukup bersedia laksana hudud - MB

TUMPAT: Kerajaan Kelantan pimpinan PAS kini sudah cukup bersedia untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat persiapan cukup rapi baik dari segi kaedah mahupun prasarana untuk melaksanakan undang-undang itu.

"Kita ada persiapan cukup dan peraturan dah ada, sekarang tunggu lampu hijau.

"Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) telah kemukakan notis untuk membentangkan rang undang-undang persendirian itu di Parlimen tetapi ia (rang undang-undang lain) terlampau banyak hingga tidak dapat dibentang, kita akan ikhtiar sedaya upaya supaya hudud dapat dilaksanakan," katanya ketika menyampaikan ceramah penjelasan Hudud serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) di Dataran Pasir Pekan, di sini malam tadi.

Ahmad menegaskan bahawa hudud hanya terpakai kepada orang Islam dan orang bukan Islam tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan undang-undang itu.

"Ia bukan untuk orang bukan Islam tetapi Islam saja, mereka (orang bukan Islam) tidak perlu susah hati kerana tidak berkait dengan mereka.

"Kita mahu lihat kesan dan keberkesanan hudud, macam mana dengan indeks jenayah apabila kita laksanakan tuntutan Allah SWT," katanya.

Pada 15 April lepas, Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata pihaknya perlu menghantar semula notis untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan rang undang-undang berkaitan hudud itu dibahaskan pada persidangan akan datang.

Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang, sebelum ini mengemukakan notis bagi pembentangan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas yang akan membolehkan beliau membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Rang undang-undang persendirian itu dimasukkan sebagai perkara terakhir (No.24) untuk dikemukakan kepada mesyuarat pada 7 April lepas, namun tidak sempat dibentang untuk perbahasan sehingga Dewan Rakyat ditangguhkan pada 9 April.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud pada 19 Mac selepas disokong oleh 44 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk 12 ADUN daripada Barisan Nasional (BN). - BERNAMA

Berita Harian X