Selasa, 17 March 2015 | 2:27pm

Najib lawat pameran LIMA 2015

NAJIB (tiga dari kiri) melawat ke ruang pameran LIMA '15 di sini, hari ini. Turut kelihatan Liow (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (tiga dari kanan). -Foto BERNAMA
NAJIB (tiga dari kiri) melawat ke ruang pameran LIMA '15 di sini, hari ini. Turut kelihatan Liow (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (tiga dari kanan). -Foto BERNAMA

LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini meninjau ruang pameran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini selepas merasmikan Pameran Maritim dan Udara Langkawi 2015 (LIMA'15) di sini.

Beliau diiringi antara lain Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib turut menandatangani plak khas menandakan pelancaran Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (2015-2030).

Rangka tindakan itu memberi tumpuan kepada pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia dan cita-cita untuk muncul sebagai negara aeroangkasa terulung dalam lingkungan Asia Tenggara menjelang 2030.

Industri aeroangkasa Malaysia turut mengunjurkan hasil berjumlah RM32.5 bilion menjelang 2030.

LIMA'15, yang bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga Sabtu, mengetengahkan 512 pempamer dari 36 negara, peningkatan 18 peratus dalam penyertaan syarikat berbanding edisi sebelum ini.

Antara pempamer yang mengambil bahagian ialah Airbus Defence and Space, The Boeing Company, Rafale International dan agensi seperti Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MiGHT) dan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan selain Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. - BERNAMA

Berita Harian X