Sabtu, 7 March 2015 | 11:10pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan penutup Konvesnyen UMNO Perak dan merasmikan serentak Persidangan Mesyuarat Cawangan UMNO seluruh Perak di Stadium Indera Mulia Ipoh. - Foto L.Manimaran
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan penutup Konvesnyen UMNO Perak dan merasmikan serentak Persidangan Mesyuarat Cawangan UMNO seluruh Perak di Stadium Indera Mulia Ipoh. - Foto L.Manimaran

Jangan cetus angkara, merosak parti - Najib

IPOH: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan seluruh ahli UMNO supaya tidak mencetuskan angkara yang boleh merosak dan melemahkan parti.

Presiden UMNO berkata, perpaduan atau solidariti menjadi asasnya, justeru UMNO mesti bersatu kerana ia menjamin kelangsungan parti.

"Kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan buat angkara yang boleh merosakkan parti dan melemahkan keyakinan ahli.

"Saya tak dapat bayangkan Malaysia tanpa UMNO. Kalau kita pejamkan mata sekejap, cuba bayangkan Perak tanpa UMNO, Malaysia tanpa UMNO, apa akan jadi pada orang Melayu tanpa UMNO berkuasa.

"Jawabnya, ..akan terbangsatlah orang Melayu di bumi sendiri. Inilah parti keramat (UMNO) yang mesti kita jaga," tegasnya ketika berucap merasmikan penutup Konvensyen UMNO Perak di Stadium Indera Mulia di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Najib berkata, pemimpin UMNO di semua peringkat juga perlu menjadi orang yang disegani dan menunjukkan contoh yang baik serta bijak menangani masalah atau krisis yang berlaku.

"Taat kepada pemimpin dan perjuangan parti penting, kalau UMNO nak ditumbangkan, boleh tumbang dengan kelemahan sendiri. UMNO boleh tumbang kalau perpaduan kita tak kukuh.

"Pemimpin mesti bekerjasama dengan baik, nak tegur di bawah atau di atas mesti betul, baru kita jadi parti yang kuat," katanya yang turut mengingatkan pemimpin dan ahli supaya melakukan perancangan dan persediaan demi kejayaan parti.

Katanya, jika perancangan dan persediaan dapat dilaksanakan dengan baik, beliau yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau turut menekankan, pemimpin dan ahli parti perlu menyesuaikan diri dengan politik baharu, berbanding politik pembangunan semata-mata kerana sikap pengundi kini berbeza kerana lebih terdedah kepada media sosial yang menjadi keutamaan.

Najib berkata, beliau yakin terhadap kemampuan UMNO Perak di bawah kepimpinan Zambry dan minta semua pihak di negeri itu memberikan sokongan kepadanya.

Berita Harian X