Selasa, 10 Februari 2015 | 10:04pm

17 rumah rosak akibat ribut di Senawang

Seorang penduduk Taman Satria, Senawang sedang membersihkan serpihan atap rumah yang tercabut selepas dilanda angin ribut dekat Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA
Seorang penduduk Taman Satria, Senawang sedang membersihkan serpihan atap rumah yang tercabut selepas dilanda angin ribut dekat Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Sebanyak 17 rumah rosak dilanda ribut di di Taman Satria, Senawang dekat sini, hari ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seremban, Emily Mirza Kamsari berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.40 tengah hari dan kebanyakan rumah terbabit mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.

"Tiada kecederaan dilaporkan, dan kita (JKM) masih jalankan bancian kerosakan. Sehingga kini, 17 rumah mengalami kerosakan termasuk lima yang terjejas teruk pada bahagian bumbung," katanya di di sini.

Seorang penduduk, Zairina Zailan, 33, berkata, beliau sedang menunaikan solat Zohor apabila terdengar bunyi kuat daripada bahagian atas rumahnya.

"Saya terus berhenti solat apabila terdengar bunyi itu. Badan saya menggigil melihat angin kuat menarik bumbung rumah sehingga tercabut satu per satu.

"Kemudian, anak-anak saya yang berumur lapan dan enam tahun menangis, lalu kami sekeluarga segera keluar dari rumah," katanya ketika ditemui hari ini.

Zairina berkata kejadian seperti itu pernah berlaku dua tahun lepas namun, angin ribut kali lebih teruk berbanding sebelum ini.

Suaminya Rusidi Mansor, 40, berkata kos pembaikan bumbung bagi kelima-lima rumah terjejas teruk itu dianggarkan RM3,633 dan dikongsi bersama jiran yang terlibat.

"Kalau boleh, pembaikan bumbung itu siap hari ini juga sebab takut hujan nanti, keadaan lebih buruk," katanya.

Seorang lagi mangsa, Hatiyah Sulaiman, 69, berkata beliau baharu selesai menunaikan solat Zohor apabila terdengar bunyi kuat dan keadaan di dalam rumahnya tiba-tiba menjadi terang.

"Rupa-rupanya atap rumah dah tercabut. Saya tak dapat nak gambarkan perasaan saya pada masa itu. Saya jerit dan ajak suami keluar rumah ikut pintu belakang," katanya.

Suaminya Osman Sulaiman, 67, cedera sedikit di bahagian dahi kerana terkena serpihan atap rumahnya dalam ribut itu. - BERNAMA

Berita Harian X