Selasa, 10 Februari 2015 | 12:28pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbincang dengan Pengerusi Sekretariat Ulama-Umara (UMUM) merangkap Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah (duduk lima dari kanan) ketika sesi bergambar pada Majlis Perdana Ulama-Umara 2015 dan Pelancaran Indeks Syariah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Maqasid Syariah sudah menjadi teras pentadbiran di Malaysia - PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba pada Majlis Perdana Ulama-Umara 2015 dan Pelancaran Indeks Syariah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan satu laporan penuh Indeks Syariah Malaysia kepada rakyat apabila siap sepenuhnya nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ini disebabkan hasil kajian awal Jawatankuasa Teknikal Indeks Syariah Malaysia mendapati banyak lagi dasar kerajaan dan program susulan yang menepati dan patuh syariah tetapi belum sempat diukur.

Beliau berkata, Maqasid Syariah sememangnya sudah digunakan sebagai teras dalam pemerintahan di Malaysia selama ini namun ia belum pernah diukur pada tahap sebenar.

"Oleh itu, inilah masa yang amat sesuai untuk menjelaskan salah faham dan tanggapan segelintir rakyat Malaysia yang mengatakan sistem pentadbiran negara selama ini tidak mengikut prinsip Islam," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perdana Ulama-Umara 2015 dan Pelancaran Indeks Syariah Malaysia di sini, sebentar tadi.

Perdana Menteri berkata, dalam lawatan penanda aras ke empat negara Islam termasuk Indonesia, Pakistan, Turki dan Maghribi, negara berkenaan meletakkan harapan tinggi ke atas inisiatif kerajaan Malaysia dalam merintis pembinaan indeks ini.

"Sesungguhnya, pembangunan Indeks Syariah Malaysia ini amat penting untuk negara.

"Jika tidak dimulakan sekarang, kita bimbang akan jauh ketinggalan berbanding negara lain walaupun kita sudah mencapai status negara maju," katanya.

Keunikan Model Indeks Syariah Malaysia ini terletak pada pengukuran yang lebih menyeluruh dan bagi fasa permulaan ini, ia merangkumi lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran, serta sosial.

"Untuk setiap satu bidang ini, tahap penyempurnaan lima teras dalam Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta akan diukur.

"Kita akan mengukur dan menyemak sama ada dasar dan program yang ditetapkan oleh kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan, menepati atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah itu sendiri," kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dilantik sebagai Pengerusi Panel Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia.

Panel jawatankuasa ini turut disertai lapan lagi pakar dalam pelbagai bidang.

Berita Harian X