Ahad, 11 Januari 2015 | 12:29pm

Dr Halim Shafie dilantik Pengerusi SKMM

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie dilantik sebagai pengerusi baharu SKMM untuk penggal dua tahun, demikian diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini.

Dr Halim, 65, kini merupakan pengerusi Telekom Malaysia, jawatan bukan eksekutif yang dipegangnya hampir enam tahun selepas khidmatnya dengan SKMM sebelum ini tamat. Beliau merupakan pengerusi SKMM dari April 2006 hingga Mei 2009.

Sebelum menyertai SKMM, Dr Halim ialah Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi selama enam tahun.

"Saya dengan penuh gembira mengumumkan bahawa Datuk Seri Dr Halim Shafie telah bersetuju untuk berkhidmat semula," kata Ahmad Shabery kepada Bernama hari ini.

"Tempoh khidmat beliau adalah selama dua tahun dengan saya telah memberikan tugas spesifik untuk beliau laksanakan dan capai. Ini termasuk meneliti tadbir urus baik, yang selaras dengan usaha kerajaan untuk semua kementerian dan agensi." - BERNAMA

Berita Harian X