X
Selasa, 2 Disember 2014 | 1:20pm

Networking bukan pilihan tetapi keperluan untuk bersaing - Rosmah

ISTERI Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor pada majlis perasmian Majlis Kemahiran Keusahawanan Wanita New Affirmative Action Movement (NAAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - Foto Surianie Mohd Hanif
ISTERI Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor pada majlis perasmian Majlis Kemahiran Keusahawanan Wanita New Affirmative Action Movement (NAAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Golongan wanita di negara ini digesa membina empayar perniagaan dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata networking atau jalinan kerjasama tidak lagi menjadi pilihan tetapi satu keperluan untuk bersaing mengikut peredaran masa.

"Apabila anda berjaya di dalam perniagaan kelak, puan tidak boleh leka dan terus kekal dalam zon selesa.

"Sesungguhnya, anjakan paradigma sudah berlaku dan wanita semakin diiktiraf dan diakui sebagai tunjang utama dalam membentuk landskap ekonomi sosial, masyarakat dan negara," katanya berucap merasmikan Majlis Kemahiran Keusahawanan Wanita New Affirmative Action Movement (NAAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC ) di sini, sebentar tadi.

Program Kemahiran Keusahawanan Wanita NAAM itu dilaksanakan di 50 lokasi dengan membabitkan penyertaan 1,000 peserta.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Yayasan NAAM, Datuk M Saravanan dan Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy.

Menerusi program itu, peserta diketengahkan dengan kemahiran membuat kek dan pastri, membuat kristal dan bunga, melukis inai, agro pertanian, jahitan dan masakan.

Berucap di hadapan lebih 2,000 orang, Rosmah menegaskan untuk memulakan sesebuah perniagaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

"Jangan mudah rebah, bangkitlah kembali sekiranya kita pernah jatuh kerana itulah yang akan menjadikan kita wanita yang hebat dan berjaya," katanya,

Berita Harian X