Rabu, 26 November 2014 | 4:14pm

Kebocoran kertas soalan bukan faktor utama penurunan keputusan UPSR - Idris Jusoh

MENTERI Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Puchong Jaya (SKPJ), Wong Wei Poh (tiga dari kiri) bersama rakan-rakannya yang memperolehi 5A dan 4A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah tersebut di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Puchong Jaya (SKPJ), Wong Wei Poh (tiga dari kiri) bersama rakan-rakannya yang memperolehi 5A dan 4A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah tersebut di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan semua calon terpaksa mendudukinya semula bukanlah faktor utama yang menyumbang kepada penurunan pencapaian keseluruhan keputusan ujian itu, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris berkata, sebaliknya penurunan 0.02 mata Gred Purata Nasional (GNP) itu disebabkan soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang mencabar tahap pemikiran calon.

"Bagaimanapun, penurunan itu tidak begitu ketara kerana ia masih berada di bawah penanda aras GNP iaitu 0.05 mata," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan slip keputusan UPSR kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Puchong Jaya yang mendapat 5A dan 4A dekat sini, hari ini .

Idris berkata, peperiksaan UPSR kali ini dimuatkan soalan-soalan KBAT sebanyak 40 peratus berbanding 25 peratus pada tahun sebelumnya.

"Apabila kita membuat analisis, penurunan ini adalah kerana adanya soalan seumpama itu...dan kesilapan jawapan banyak dilakukan (calon UPSR) dalam soalan KBAT berbanding soalan lain," katanya.

Idris berkata, tindakan kementerian memasukkan soalan KBAT dalam peperiksaan UPSR adalah antara transformasi yang dilakukan bagi memastikan objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk melahirkan pelajar berfikir aras tinggi tercapai.

Katanya, kementerian akan sentiasa memastikan peningkatan sebanyak 10 hingga 15 peratus soalan-soalan KBAT dimasukkan dalam kertas peperiksaan setiap tahun, tidak hanya untuk UPSR tetapi juga peperiksaan lain juga.

Menyentuh kes kebocoran soalan UPSR, beliau berkata kerajaan kini sedang melihat keperluan menggunakan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai peranti alternatif bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata mata pelajaran Geografi dan Sejarah tidak lagi dibuat dalam bentuk peperiksaan sebaliknya, penilaian terhadap subjek itu dibuat berdasarkan kerja kursus pelajar.

Pendekatan ini dilakukan menerusi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun ini.

"Bagi mata pelajaran ini, pelajar 100 peratus akan melaksanakan kerja kursus termasuk mencari sendiri bahan untuk melengkapkan laporan mereka," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X