Isnin, 27 Oktober 2014 | 10:02pm

WIEF alu-alukan pandangan kritikal untuk majukan masyarakat

DUBAI: Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) mengalu-alukan pandangan kritikal agar ia dapat membantu memajukan lagi masyarakat.

"Kita sedang memasuki dekad kedua. Kita membentuknya sekarang," kata Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam kepada media Malaysia bersempena dengan WIEF Ke-10 yang diadakan di sini selama tiga hari bermula Selasa.

"Bagi tahu kami bagaimana untuk menjayakannya. Lebih keras kritikan, lebih berminat saya," katanya.

Yayasan WIEF mempunyai Panel Penasihat Antarabangsanya (IAP) sendiri yang menyediakan input strategik dan kandungan intelektual bagi WIEF global dan serantau serta inisiatif berkaitannya.

Badan ini dianggotai ketua-ketua perniagaan daripada pelbagai industri, ahli pemikir dan ketua-ketua organisasi berkaitan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

WIEF menyambut ulang tahun ke-10 tahun ini.

Ia bermula sebagai Forum Perniagaan OIC, yang diadakan pada 15 Okt, 2003, bersempena dengan Sidang Kemuncak OIC Ke-10, di Putrajaya, Malaysia.

Forum Perniagaan OIC sulung diadakan bertujuan untuk mewujudkan 'segmen' perniagaan OIC.

Forum itu mengumpulkan bersama ketua-ketua kerajaan, ketua industri, ahli akademik, pakar serantau, profesional dan pengurus korporat untuk membincangkan peluang bagi perkongsian perniagaan di dunia Islam.

Forum Perniagaan OIC kedua diadakan di Kuala Lumpur pada 2004 yang membawa kepada penubuhan WIEF dan kemudiannya persidangan pertama WIEF di Kuala Lumpur pada 2005.

Ini merupakan peralihan penting yang membukakan Forum itu kepada komuniti Islam di luar dari negara OIC dan komuniti bukan Islam di seluruh dunia.

Seterusnya, WIEF berjaya membantu masyarakat menerusi penubuhan WIEF Education Trust (WET), WIEF Businesswomen Network (WBN), WIEF Young Leaders Network (WYN) dan WIEF Roundtable Series.

Sementara itu WIEF edisi ke-10 yang bertemakan "Innovative Partnerships for Economic Growth", menyasar untuk menjalin kerjasama lebih erat antara negara-negara bagi membawakan kemakmuran era baharu kepada ekonomi global.

Forum itu mengumpulkan sembilan pemimpin, 12 menteri, empat gabenor bank pusat, 18 penggiat utama, dan lebih 2,300 delegasi dari lebih 100 negara.

"Kami berharapkan tempoh pembabitan ekonomi Islam yang lebih kreatif yang akan memberi manfaat kepada delegasi serta negara-negara yang mereka wakili, dan mengukuhkan kedudukan Dubai sebagai hab ekonomi Islam," kata Pengerusi Dubai Chamber, Abdulrahman Saif Al Ghurair.

WIEF ke-10 dianjurkan buat kali pertama di Dubai oleh yayasan itu secara kerjasama dengan Dubai Chamber of Commerce and Industry, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong wawasan negara tersebut menjadi ibu kota global ekonomi Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, penaung Yayasan WIEF akan menyampaikan ucap tama khas semasa sesi pembukaan pada Selasa.

Forum itu akan diadakan sehingga 30 Oktober. - BERNAMA

Berita Harian X