Isnin, 13 Oktober 2014 | 7:26pm

Najib doakan kejayaan pelajar dalam Ujian PT3

Catatan terbaharu pada laman Twitter Datuk Seri Najib Razak.
Catatan terbaharu pada laman Twitter Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar yang menduduki Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai hari ini hingga Khamis.

Najib dalam catatan terbaharu Twitternya berkata: "Selamat menduduki peperiksaan PT3 kepada semua pelajar Tingkatan 3.

"Semoga dapat jawab soalan dengan tenang dan yakin," katanya.

Sebanyak 453,413 calon mengambil ujian PT3 yang julung kali diadakan itu di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara.

PT3 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) meliputi 12 mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam.

Mata pelajaran selebihnya ialah Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Punjabi.

Pelaporan pencapaian murid bagi PT3 diberikan dalam bentuk Gred A, B, C, D, E dan F. - BERNAMA

Berita Harian X