Sabtu, 20 September 2014 | 3:41pm

Mat Sabu nafi ingin jatuhkan Hadi Awang

TIMBALAN Presiden PAS, Mohamad Sabu berucap pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Parit Raja, Batu Pahat, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
TIMBALAN Presiden PAS, Mohamad Sabu berucap pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Parit Raja, Batu Pahat, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

BATU PAHAT: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menafikan dakwaan bahawa beliau ingin menjatuhkan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Tidak pernah terlintas atau terniat untuk jatuhkan Presiden. Memang langsung tiada dalam hati saya," katanya pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke - 60 di sini, sebentar tadi.

Walaupun berasa kecil hati selepas dilempar dengan tuduhan sedemikian, beliau menegaskan berasa seronok apabila menjadi sasaran serangan di muktamar itu.

"Namun yang tak seronok ada apabila gambar saya dibubuh cat. Ini memang tak seronok. Ada Muslimat (perwakilan wanita) marah, siap ada yang nak lap cat di poster itu," katanya sambil disambut penuh gelak ketawa oleh perwakilan di dewan berkenaan.

Mohamad atau popular dengan gelaran Mat Sabu berkata, tidak timbul isu untuk menjatuhkan atau menyisihkan presiden parti kerana kenyataan yang dibuat beliau mengenai krisis pelantikan Menteri Besar Selangor adalah berasaskan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat.

Pada muktamar yang diadakan di Parit Raja di sini itu, Mat Sabu menerima kritikan paling hebat apabila hampir semua perwakilan menjadikan beliau sebagai sasaran ketika berbahas.

Berita Harian X