Ahad, 7 September 2014 | 12:32pm

Bantu kerajaan jelaskan manfaat pertumbuhan ekonomi negara kepada rakyat - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memeriksa perbarisan ketika hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen di sini, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memeriksa perbarisan ketika hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen di sini, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

PEKAN: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta pemimpin dan ahli UMNO membantu kerajaan dalam menjelaskan kepada rakyat mengenai faedah daripada pertumbuhan ekonomi yang dinikmati negara sekarang.

Berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan, di Dewan Konvensyen di sini, Perdana Menteri berkata, walaupun negara berjaya mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.4 peratus bagi suku kedua tahun ini, namun masih ada yang tidak memahami faedah pencapaian berkenaan.

"Jika kita bandingkan dengan negara lain di Asean, Malaysia mencatatkan perkembangan ekonomi tertinggi di Asean untuk suku tahun kedua tahun ini sedangkan negara lain seperti Singapura, hanya mampu mencatatkan sebanyak 2.4 peratus dan Indonesia 5.1 peratus.

"Tetapi masih ada yang mempersoalkan apa makna pencapaian 6.4 peratus itu kepada mereka dan perkara inilah yang perlu dihuraikan kepada rakyat dan akar umbi," katanya.

Sehubungan itu, Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan mengingatkan agar semua pemimpin dan ahli UMNO agar jangan lalai dalam memastikan perjuangan parti bagi memartabatkan bangsa, agama dan negara sejak 68 tahun lalu terus dipertahankan.

Perdana Menteri berkata, semua pihak hendaklah terus berusaha dan berdoa agar segala halangan dan ujian Allah dapat ditempuhi demi memastikan perjuangan membawa kesejahteraan hidup rakyat dapat dijayakan.

"Allah sentiasa menguji manusia dan kita hendaklah sentiasa tabah, tingkatkan keimanan dan menggandakan usaha.

"Kita tidak boleh lalai kerana kita kena sentiasa ingat bahawa janji UMNO sejak ditubuhkan 68 tahun lalu untuk menjadi bangsa dihormati dan berjaya," katanya.

Berita Harian X