Jumaat, 22 Ogos 2014 | 12:22pm

MH17: MMU bertafakur pada konvokesyen hujung minggu ini

CYBERJAYA: Majlis Konvokesyen Ke-15 Multimedia Universiti (MMU) yang akan diadakan selama dua hari bermula esok, bakal mencatat sejarah penganjuran sesebuah konvokesyen di negara ini apabila menyaksikan para hadirin akan bertafakur seminit bagi memperingati mangsa-mangsa penumpang pesawat, Penerbangan Malaysia MH17 (MH17).

Walaupun majlis berkenaan diadakan sehari selepas Hari Perkabungan Negara hari ini (Jumaat, 22 Ogos), di mana mayat 20 mangsa pertama akan dibawa pulang ke tanah air namun MMU tetap akan memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa terbabit pada majlis tersebut.

Presiden MMU, Profesor Datuk Muhammad Rasat Muhammad berkata, memandangkan konvokesyen adalah acara tahunan paling penting dan berprestij bagi sesebuah universiti, justeru adalah tepat pada masanya untuk graduan dan ahli-ahli keluarga mereka memberi penghormatan kepada penumpang-penumpang pesawat malang itu pada majlis berkenaan.

"Kami bersama seluruh rakyat Malaysia berkabung untuk menunjukkan rasa simpati dan hormat yang mendalam kepada mangsa-mangsa dengan cara bertafakur semasa minit selepas bacaan doa pada semua empat sesi konvokesyen ini," kata beliau di sini hari ini.

Langkah yang diambil oleh MMU sedemikian adalah kali diadakan pertama dalam sejarah MMU.

Muhammad Rasat berkata, semua hadirin termasuk para tetamu kehormat di Dewan Tun Canselor akan bertafakur seminit sebelum majlis bermula pukul 8 pagi.

"Kami mahu bersama rakyat Malaysia yang lain dalam menyatakan rasa sedih kami berhubung kejadian itu dan kami mahu keluarga mangsa mengetahui bahawa perasaan dan doa-doa kami adalah bersama mereka," katanya.

Sempena Hari Perkabungan Negara hari ini, MMU mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang di kedua-dua kampus, Cyberjaya dan Melaka.

Sementara itu, untuk rekod, terdapat dua graduan MMU, Mohamad Sofuan Ibrahim dan Tong Soon Lee yang menaiki penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Jun 2014.

Mohamad Sofuan, adalah lulusan Sarjana Muda Teknologi Maklumat pada tahun 2004 manakala Tong menamatkan pengajian Kejuruteraan Elektronik pada tahun 2005.

MMU akan menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada tiga penerima sempena Majlis Konvokesyen ke-15 yang diadakan pada 23 dan 24 Ogos 2014.

Majlis konvokesyen tahun ini, MMU akan menganugerahkan Doktor Kehormat kepada Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Tan Sri Dr Mustapha Kamal Abu Bakar, Pengerusi Kumpulan EMKAY dan Profesor Jeffrey Shaw, Dekan Pusat Pengajian Media Kreatif di The City University Hong Kong. - BERNAMA

Berita Harian X