PUTRAJAYA: Sejumlah 63 individu termasuk sembilan warga asing ditahan menerusi Ops Tiris dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan diesel bernilai lebih RM1.2 juta yang cuba diseleweng turut dirampas.
Semua tangkapan dan rampasan itu direkodkan sepanjang tempoh antara 1 hingga 17 Mac lalu membabitkan 2,164 pemeriksaan dilakukan yang merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan lain-lain premis.
Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof, menerusi pemeriksaan itu, sejumlah 55 kes dihasilkan membabitkan stesen minyak, rumah, pemborong, kuari, bengkel kenderaan dan lain-lain.
"Seramai 54 warga tempatan dan sembilan warga asing turut ditahan sepanjang ops ini dilancarkan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ops TIRIS dilancarkan selama enam bulan bermula 1 Mac sehingga 31 Ogos depan bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan dan sampai ke pihak yang layak menerimanya.
Sementara itu, Azman berkata, KPDN menerusi Ops Tiris giat memperkasakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi menerusi pemeriksaan di hotel, ladang teh serta stesen minyak sekitar Cameron Highlands.
Pegawai penguat kuasa KPDN digerakkan bagi memastikan penguatkuasaan menyeluruh dibuat terhadap pihak yang mempunyai lesen sah di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan bandar serta di luar bandar.
Penguat kuasa turut menjalankan pemeriksaan dan naziran antaranya terhadap stesen minyak, pemborong diesel berlesen, pemegang permit berlesen dan persatuan nelayan, selain mengeluarkan notis di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang bertujuan mendapatkan maklumat punca bekalan minyak diesel, harga belian dan sumber penjualan minyak.
"Tindakan ini dibuat untuk mengenal pasti sekiranya berlaku ketirisan diesel bersubsidi kepada pihak atau sektor yang tidak layak," katanya.
Menerusi Ops Tiris ini, beliau berkata KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan tegas akan diambil di pelbagai peringkat bagi memastikan isu penyelewengan dan ketirisan diesel bersubsidi dapat dibendung secara menyeluruh.
"KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak berkenaan dan menegaskan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket dan aktiviti haram ini," katanya.
Azman berkata, tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah AKB 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – BERNAMA