Selasa, 7 Februari 2023 | 6:56pm

Gaduh dalam kelab kerana cemburu 'bekas awek' dengan teman baru

MELAKA: Cemburu bekas teman wanitanya keluar dengan kekasih baharu dipercayai motif seorang lelaki dikatakan mencetuskan pergaduhan dalam sebuah kelab malam, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata susulan kejadian jam 3.20 pagi, suspek berusia 23 tahun ditahan selepas bekas teman wanitanya membuat laporan.

Suspek ditahan jam 7 pagi hari sama di tepi jalan Kota Melaka oleh sepasukan polis dari cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

"Kejadian dipercayai berpunca apabila bekas teman wanita suspek yang juga seorang penuntut dikatakan enggan bercakap kerana mendakwa lelaki terbabit sedang mabuk.

"Disebabkan itu, suspek dikatakan naik marah sebelum didakwa bertindak menolak kawan-kawan lelaki wanita itu seramai empat orang sehingga berlaku pergaduhan," katanya.

Pergaduhan yang tercetus itu turut membabitkan beberapa individu lain yang kebetulan berada di premis itu. Pergaduhan pukul memukul yang turut menggunakan kerusi dan botol kaca itu turut membabitkan ramai orang.

"Akibat daripada kejadian itu, penuntut wanita itu kemudian terjatuh manakala rakan-rakannya pula cedera di badan dan hidung.

Christopher berkata selain suspek, polis kini turut mengesan enam lagi individu lain yang dipercayai terbabit dalam insiden itu.

"Suspek kini direman selama empat hari selain kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X