SUNGAI PETANI: Kehilangan seorang pelajar pondok sejak hampir tiga bulan lalu mencetuskan misteri buat keluarganya apabila dia gagal dikesan sehingga kini.
Pelajar Pondok Pertubuhan Mujamma Ibnu Sunni Lit Talaqqi (Mustaq), Bukit Jagung Pendang, Salahuddin Mohammed Salleh, 23, disedari hilang ketika ibunya menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Januari lalu.
Bapa pelajar terbabit, Mohammed Salleh Ri, 48, berkata ketika itu, isterinya apabila mendapati kali terakhir anak mereka menggunakan aplikasi WhatsApp apada pada 31 Disember.
"Isteri juga cuba menghubungi anak melalui talian telefon bimbitnya namun semua panggilan yang dibuat masuk ke peti suara.
"Kali terakhir anak menghubungi ahli keluarga terdekat iaitu ibu saudaranya pada 29 Disember tahun lalu kerana mahu mengajar kelas mengaji secara dalam talian," katanya.
Menceritakan kembali kejadian, Mohammed Salleh berkata, anak sulung daripada enam beradik itu kali terakhir dilihat anak keduanya yang berusia 22 tahun ketika mereka turun di Stesen KTMB Sungai Petani pada 20 November tahun lalu.
"Salahuddin dan adik perempuannya menaiki kereta api dari Tanjung Malim dan masing-masing turun di Sungai Petani, sebelum adiknya ke tempat pengajiannya di Kuala Ketil.
"Saya difahamkan yang Salahuddin sepatutnya pulang ke Pondok Mustaq dengan dijemput rakan pada hari sama, namun pihak pondok memberitahu yang anak saya sebenarnya tiada di situ sejak 20 November," katanya.
Beliau berkata, perkara itu hanya diketahui selepas isterinya menghubungi pengurusan pondok terbabit pada 5 Januari lalu dan mereka sekeluarga turut hairan dengan kehilangan Salahuddin kerana motosikalnya masih berada di sana.
"Anak saya baru empat bulan belajar di pondok terbabit dan dia adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Ulum, Pokok Sena.
"Apa yang saya tahu, anak tidak pernah menceritakan sebarang masalah sepanjang belajar di pondok terbabit malah dia juga tidak mempunyai masalah dengan ahli keluarga," katanya.
Menurutnya, dia amat berharap anak sulungnya itu dapat ditemui dalam keadaan selamat dan pulang dengan segera kerana mereka sekeluarga amat bimbang dengan keadaan Salahuddin.
"Setakat ini, kami sekeluarga hanya mampu berikhtiar dengan melakukan solat hajat serta membaca surah Yasin dan berdoa kepada Allah selain ada membuat laporan polis berhubung kehilangannya.
"Saya juga ada mengedarkan foto serta berita kehilangan anak melalui media sosial dan amat berharap Salahuddin dapat ditemui secepat mungkin." katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan pelajar berkenaan.
Menurutnya, setakat ini polis masih giat menjalankan siasatan serta mengesan pelajar berkenaan yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya.
Orang ramai yang mengenali atau menemui Salahuddin boleh menghubungi bapanya Mohammed Salleh di talian 019-5261522.