SERDANG: Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan, ditemui meninggal dunia dengan berbalut kain dalam sebuah beg di tong sampah berhadapan sebuah rumah kebajikan di Lestari Perdana 1, Seri Kembangan di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, berkata mayat mangsa berkulit cerah itu ditemui pekerja pengutip sampah pada jam 9.30 pagi tadi.
Katanya, anggota bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima panggilan menerusi sistem MERS 999 mengenai kes pembuangan bayi di lokasi kejadian pada jam 10.05 pagi.
"Mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan.
"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kelahiran bayi terbabit boleh datang ke mana-mana balai polis berdekatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.