Rabu, 25 Januari 2023 | 11:03am

Jururawat antara dua wanita didakwa perdagang bayi

IPOH: Dua wanita termasuk seorang jururawat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan secara bersama memperdagangkan seorang bayi perempuan lebih dua tahun lalu.

Pengakuan Noor Azlina Mohd Nasir, 41, jururawat di sebuah hospital di Alor Setar, Kedah dan suri rumah, D Murugamal, 52, itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Noor Azlina dan D Murugamal dituduh secara bersama dengan niat memperdagangkan seorang bayi perempuan yang ketika kejadian berusia sembilan hari.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari pada 18 Jun 2020 di kawasan tempat letak kenderaan berdekatan sebuah hospital swasta di Manjung, Perak.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Firdaus Mohd Faruq.

Evangelin memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh sebelum Mohamad Firdaus merayu ia ditetapkan pada kadar minimum dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya kedua-dua tertuduh tetap hadir ke mahkamah selepas mereka dilepaskan dengan jaminan polis.

Selain itu, Mohamad Firdaus turut memohon mahkamah mengambil kira tahap kesihatan Murugamal yang tidak bekerja dengan tertuduh turut mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit jantung dan kencing manis.

Tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dan mahkamah menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Noor Azlina Mohd Nasir dan D Murugamal, dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara bersama memperdagangkan seorang bayi perempuan lebih dua tahun lalu. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Noor Azlina Mohd Nasir dan D Murugamal, dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara bersama memperdagangkan seorang bayi perempuan lebih dua tahun lalu. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X