Rabu, 30 November 2022 | 9:34pm
Seorang wanita ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di belakang sebuah pasar di Berek 12, Kota Bharu, pagi tadi. NSTP/Ihsan Pembaca
Seorang wanita ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di belakang sebuah pasar di Berek 12, Kota Bharu, pagi tadi. NSTP/Ihsan Pembaca

Meninggal dunia di dalam kereta

KOTA BHARU: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di belakang sebuah pasar di Berek 12 di sini, pagi tadi.

Mangsa yang berusia 37 tahun ditemukan orang ramai yang menyedari wanita itu tidak sedarkan diri sebelum mereka bertindak memecah cermin belakang kereta Proton Saga BLM.

Saksi yang ingin dikenali sebagai Lisa, 38, berkata kereta yang dinaiki mangsa dilihat diparkir di hadapan sebuah kedai seawal jam 7.30 pagi di belakang pasar dan mangsa dikatakan sempat membeli belah di pasar berkenaan.

"Selepas selesai membeli, wanita itu masuk ke dalam kereta dan kira-kira jam 10 pagi, seorang penjual di pasar yang juga mengenali mangsa dilihat menuju ke kereta itu bersama ahli keluarganya.

"Rupa-rupanya ahli keluarga ada menghubungi wanita itu beberapa kali namun tidak diangkat sebelum datang ke pasar kerana dikatakan mangsa yang tinggal bersama ibunya yang sakit sering ke pasar ini untuk membeli makanan.

"Sebaik pintu kereta berjaya dibuka, saya melihat wanita itu tidak sedarkan diri dan mengesyaki sudah meninggal dunia sebelum pihak berkuasa segera dihubungi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada komplikasi akibat Hormon Thyroid yang tinggi.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X