Rabu, 7 September 2022 | 1:56pm
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - NSTP/Faiz Anuar
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - NSTP/Faiz Anuar

23 September penentuan Zahid bebas atau bela diri kes rasuah Ultra Kirana

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini, menetapkan 23 September ini, bagi keputusan sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dibebaskan atau dipanggil membela diri atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan tarikh itu, selepas selesai mendengar hujahan lisan pendakwaan dan pembelaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, selama empat hari sejak minggu lalu.

"(Rekod) hujahan lisan itu perlu dihantar kepada mahkamah sebelum 13 September ini. Kalau hujahan ini tak dihantar, mahkamah akan beri keputusan pada tarikh baharu," katanya.

Pada 11 Ogos lalu, pendakwaan menutup kes itu selepas 18 saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 24 Mei tahun lalu.

Saksi terbabit termasuk dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun serta Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani, manakala Ahmad Zahid diwakili peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Berita Harian X