X
Khamis, 22 September 2022 | 9:49pm
Operasi SAR di lokasi runtuhan batu tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai pada Mac lalu ditamatkan hari ini. - Foto ihsan BBP Simpang Pulai
Operasi SAR di lokasi runtuhan batu tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai pada Mac lalu ditamatkan hari ini. - Foto ihsan BBP Simpang Pulai

Rangka jengkaut kedua dikeluarkan, operasi SAR ditamatkan

IPOH: Rangka jengkaut yang dipercayai dikendalikan mangsa kedua insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini Mac lalu dikeluarkan hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak berjaya mengeluarkan jengkaut dari timbunan batu di tempat kejadian.

"Di samping itu, pencarian di sekitar lokasi rangka jengkaut turut berjaya menemui cebisan pakaian dan tulang manusia dipercayai milik mangsa kedua yang dilaporkan hilang ketika kejadian itu," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Yusri berkata, sehubungan itu cebisan pakaian dan tulang manusia yang ditemui dihantar ke Jabatan Frensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa.

"Dengan penemuan kedua-dua jentera, cebisan pakaian dan tulang manusia yang dipercayai milik kedua-dua mangsa yang dilaporkan hilang ketika kejadian tanah runtuh, maka operasi SAR di tamatkan," katanya.

Dua mangsa dipercayai tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari pada 8 Mac lalu dikenali sebagai Itam Bah Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Berita Harian X