Khamis, 22 September 2022 | 6:46pm
Bot pemancing yang karam di perairan Mukah. - Foto ihsan Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak
Bot pemancing yang karam di perairan Mukah. - Foto ihsan Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak

Bot karam: 2 pemancing maut, lapan selamat dan seorang masih hilang

KUCHING: Dua daripada 11 pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot mereka karam di perairan Mukah, dekat sini, pada malam Isnin lalu ditemukan lemas hari ini.

Perkara itu disahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan lapan lagi mangsa ditemukan selamat dan seorang lagi masih hilang.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, berkata mayat pertama ditemukan bot pancing Himalaya jam 1.30 pagi, disusuli penemuan mayat kedua dua jam kemudian oleh Pasukan Polis Marin (PPM).

Katanya, mangsa yang meninggal dunia adalah tekong bot dikenali sebagai Sabli Jun dan seorang pemancing, Wong Siaw Tiang.

Mengenai lapan mangsa yang selamat, beliau berkata dua daripadanya ditemui kru kapal MT Capella kira-kira jam 3 petang, diikuti empat lagi mangsa yang dijumpai nelayan jam 8.40 pagi dan dua lagi oleh bot pancing Himalaya jam 11.20 pagi

"Identiti lapan mangsa yang selamat ialah dua kru bot iaitu Lingsan Spawi dan Anuar Spawi, selain enam pemancing iaitu Wong Chiang Hie, Lewis Yung Koh Ing, Chieng Hock Hung, Wang Ting Ping, Chong Fei Foo dan Lee Sie Soon.

"Semua mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan dan tindakan lanjut," katanya mengesahkan mangsa yang masih hilang dikenali sebagai pemancing Wong Ik Kong.

Mengulas kejadian itu, Mohd Khairul berkata, bot membawa 11 pemancing itu keluar ke laut Isnin lalu sebelum karam kira-kira jam 8.30 malam, Selasa lalu.

Susulan laporan penemuan dua mangsa yang hanyut di perairan oleh kru kapal MT Capella yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Kuching, operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) untuk mengesan baki pemancing dan kru bot yang hilang.

Berita Harian X