Selasa, 20 September 2022 | 10:00pm
Anggota Maritim Malaysia ketika menyertai SAR. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Anggota Maritim Malaysia ketika menyertai SAR. - Foto ihsan Maritim Malaysia

SAR nelayan hilang di perairan Parit Hailam ditamatkan

BATU PAHAT: Pasukan menyelamat mengambil keputusan menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Parit Hailam, di sini, yang kini memasuki hari keenam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus, berkata keputusan menghentikan operasi jam 5 petang tadi dibuat selepas tiada sebarang penemuan baharu berkaitan mangsa yang hilang meskipun pelbagai usaha pencarian dilakukan pasukan SAR serta komuniti maritim setempat.

"Fokus pencarian hari ini tertumpu pada bot yang tenggelam membabitkan pencarian pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), namun mangsa, Chia Hock Neng, 60, gagal ditemukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Haniff berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan sentiasa membuat pemantauan serta hebahan kepada komuniti maritim setempat supaya memaklumkan sekiranya terdapat tanda penemuan mangsa.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Rabu lalu, sebuah bot nelayan dengan empat kru dilaporkan karam akibat cuaca buruk dan ombak besar kira-kira jam 5 petang, menyebabkan Te Chia Rong, 38 dan Chia Hock Neng hilang, manakala dua lagi iaitu Te Chia Haur, 40 dan Tee Kian Muar, 33, terselamat.

Semalam, dilaporkan Chia Rong ditemukan mati dengan mayatnya tersangkut pada jaring pukat. – BERNAMA

Berita Harian X