Jumaat, 19 Ogos 2022 | 9:09pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Ustaz, tiga warden pusat pemulihan ditahan disyaki bunuh penghuni

KUALA KANGSAR: Polis mengklasifikasikan kes kematian seorang penghuni pusat pemulihan dadah di Padang Rengas, di sini, kelmarin yang pada mulanya dikatakan kes mengamuk kepada kes bunuh.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata susulan itu polis menahan seorang lelaki bergelar 'ustaz' dan tiga warden pusat pemulihan berkenaan.

Beliau berkata, maklumat awal kejadian diterima daripada doktor bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar memaklumkan mangsa yang sudah tidak bernyawa dibawa ke hospital itu oleh tiga suspek terbabit.

Katanya, mangsa, Muhammad Shahrul Samion, 25, berasal dari Shah Alam, Selangor dibawa ke hospital selepas didakwa mula tidak sedarkan diri sejak jam 7 malam pada hari yang sama.

"Hasil temu bual dengan pengasas dan warden pusat pemulihan itu mendapati mangsa pada mulanya cuba melarikan diri dari pusat itu kira-kira jam 1.45 tengah hari kelmarin, sebelum mengamuk serta mencederakan seorang daripada warden pusat itu menggunakan pisau.

"Ketika mengamuk mangsa bergelut dengan warden yang sempat beberapa kali menumbuk bahagian badannya, sebelum mangsa sekali lagi dikatakan cuba melarikan diri kira-kira tiga jam kemudian.

"Mangsa cuba sekali lagi melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan. Selepas berjaya ditangkap semula, kaki serta tangan mangsa dikatakan diikat dengan kain untuk mengelakkannya daripada kembali mengamuk dan melarikan diri dan dia ditempatkan di dalam bilik tetamu.

"Mangsa didakwa beberapa kali menghentak kepalanya ke lantai dan dinding sehingga luka berdarah, namun kira-kira jam 7.45 malam warden mendapati mangsa tidak sedarkan diri semasa ditempatkan di bilik tetamu lalu terus membawanya ke hospital," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, ujian x-ray yang dilakukan sejurus mangsa dibawa ke hospital malam kelmarin mendapati terdapat kesan luka di bahagian dahi dan lebam pada muka, mata kiri, dada, kedua-dua kaki serta tangannya.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada, otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.

"Susulan itu, keempat-empat suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Berita Harian X