Sabtu, 13 Ogos 2022 | 4:39pm
 Bot nelayan yang terbalik dipukul ribut diikat pada boya besar bagi mengelakkan dihanyut arus. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Bot nelayan yang terbalik dipukul ribut diikat pada boya besar bagi mengelakkan dihanyut arus. - Foto ihsan Maritim Malaysia

Tragedi bot karam, satu lagi mayat ditemui

KUALA TERENGGANU: Satu lagi mayat dipercayai nelayan yang hilang selepas bot dinaikinya karam, ditemukan pagi tadi.

Mayat lelaki yang belum dikenali pasti identitinya itu ditemui terapung oleh nelayan tempatan, kira-kira jam 11.30 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli, berkata penemuan mayat di kedudukan 9.4 batu nautika ke utara perairan Pulau Redang itu disahkan nelayan dan saudara mangsa.

Katanya, pegawai dan anggota daripada kapal KM BAGAHAK sudah digerakkan ke lokasi penemuan mayat sebaik menerima laporan.

"Proses mengangkat mayat ke kapal selesai dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi dan akan dihantar ke jeti maritim di Pulau Kambing," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Difahamkan, mayat itu ditemui terapung oleh nelayan dan ahli keluarga mangsa yang masih meneruskan pencarian selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan, semalam.

Isnin lalu, enam nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka untuk memancing dan memasang bubu karam dipukul ribut di perairan Pulau Redang.

Susulan kejadian itu, Maritim Malaysia mengaktifkan operasi SAR dengan tiga daripada enam nelayan iaitu Saludin Ismail, 50; Ahmad Nazri Ishak, 48; dan Zulkifli Umar, 48; ditemui lemas, manakala seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, selamat.

Dua lagi nelayan yang masih hilang ketika itu adalah Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49; dan Ahmad Zamri Ishak, 66.

Mengulas lanjut, Muhammad Suffi berkata, beberapa ahli keluarga kepada Raja Zainudin dan Ahmad Zamri berada di jeti Pulau Redang untuk urusan pengecaman mayat.

Berita Harian X