Rabu, 10 Ogos 2022 | 11:23pm
Polis membawa kumpulan penyokong Perak ke pekarangan IPK Kelantan sebelum diiringi pulang menaiki tiga bas dan dua van. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Polis membawa kumpulan penyokong Perak ke pekarangan IPK Kelantan sebelum diiringi pulang menaiki tiga bas dan dua van. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Polis iring penyokong Perak pulang

KOTA BHARU: Kumpulan penyokong Perak diiringi anggota polis pulang menaiki bas dan van sejurus berlaku kekecohan selepas perlawanan antara Kelantan FC dan Perak, petang tadi.

Kedua pemain pasukan itu juga selamat diiringi keluar dari Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, ke penginapan masing-masing.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata kekecohan itu dipercayai berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan terbabit.

"Bagaimanapun, tiada pergaduhan dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam tadi.

"Berikutan kejadian itu, polis membawa kumpulan penyokong Perak ke pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sebelum diiringi pulang menaiki tiga bas dan dua van.

"Kedua-dua pemain pasukan Kelantan FC dan Perak juga selamat diiringi keluar dari stadium ke penginapan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perlawanan Liga Perdana dengan keputusan Kelantan FC tewas 1-2 di tangan Perak petang tadi, penyokong The Red Warriors dilihat 'mengamuk' dan menerusi beberapa klip video yang tular di media sosial penyokong Perak FC diarahkan masuk ke dalam padang dan tidak dibenarkan keluar daripada stadium selepas wisel penamat dibunyikan.

Bukan setakat penyokong, tetapi pemain juga dikatakan terpaksa 'berlindung' di tengah stadium bagi mengelak daripada perkara yang tidak diingini berlaku.

Sebuah bas yang dikatakan dinaiki pemain Perak FC turut dibaling dengan objek seperti botol air dan batu oleh kelompok penyokong dipercayai penyokong Kelantan FC.

Berita Harian X