Sabtu, 6 Ogos 2022 | 11:36am
Pegawai SPAN dan SAINS memeriksa penyambungan saluran air haram di sebuah premis yang diserbu di Seremban. - Foto SAINS.
Pegawai SPAN dan SAINS memeriksa penyambungan saluran air haram di sebuah premis yang diserbu di Seremban. - Foto SAINS.

Padah guna air percuma, hukuman penjara, denda menanti

SEREMBAN: Tiga premis, masing-masing dua di sini dan satu lagi di Port Dickson, diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana disyaki mencuri air melalui penyambungan saluran tidak sah.

Operasi bermula kira-kira jam 10 pagi kelmarin, diketuai Pegawai Penguat Kuasa SPAN, Shariff Abd Rahman dan sepasukan kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAINS, Norzita Ismail, berkata premis pertama diserbu adalah kawasan simpanan lori yang penghuni premis di situ didapati melakukan penyambungan air tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 32 milimeter (mm) tanpa melalui meter.

"Air yang dicuri adalah untuk kegunaan harian pekerja premis. Premis kedua diserbu membabitkan sebuah banglo dalam proses ubah suai yang didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 19mm.

"Premis ketiga pula sebuah bengkel membaiki kenderaan di mana penghuni premis didapati membuat sambungan menggunakan paip mudah lentur bersaiz 15mm tanpa meter," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.

Norzita berkata, bagi kes pertama, tertuduh boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kes kedua dan ketiga disiasat mengikut Seksyen 89 (9) akta sama.

"Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 89 (9), tertuduh boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Penguat kuasa SAINS turut menjalankan ujian klorin di ketiga-tiga lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik SAINS. SPAN menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti," katanya.

Beliau meminta pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan kes curi air supaya menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982 dengan setiap maklumat peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Berita Harian X