Sabtu, 2 Julai 2022 | 9:58pm
Mangsa dikhuatiri hilang selepas kapal tangki dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan Samalaju pada jarak 40.2 batu nautika dari Barat Laut Bintulu. - Foto Maritim Malaysia
Mangsa dikhuatiri hilang selepas kapal tangki dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan Samalaju pada jarak 40.2 batu nautika dari Barat Laut Bintulu. - Foto Maritim Malaysia

Kapal tangki karam, tiga terselamat, seorang masih hilang

BINTULU: Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching mengaktifkan Operasi Carilamat pada jam 11.15 pagi ekoran seorang mangsa dikhuatiri hilang selepas kapal tangki dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan Samalaju pada jarak 40.2 batu nautika dari Barat Laut Bintulu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pada jam 10.53 pagi, MRSC Kuching menerima laporan polis dan pengadu menyatakan kapal tangki iaitu Banga 2 berserta empat orang kru dikhuatiri karam di perairan Samalaju, Bintulu.

Katanya, tiga kru berjaya diselamatkan manakala seorang lagi kru warga India yang dikenali sebagai Himanshu Kumar, disyaki masih hilang.

"Menurut mangsa yang terselamat, ketika kapal tangki tersebut sedang bersauh di perairan Samalaju sekitar jam 2 pagi semalam, kapal mereka dilanda ribut kuat dan ombak setinggi lima meter dengan kelajuan angin yang mencapai 50 knot menyebabkan kapal dimasuki air dan tenggelam dalam masa dua jam.

"Semua memakai jaket keselamatan dan bot penyelamat terpaksa dilepaskan kerana air memasuki kapal sehingga ditenggelami air.

"Tiga lagi mangsa mangsa iaitu dua warga tempatan termasuk nakhoda, seorang warga India berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki bot penyelamat itu manakala seorang lagi kru tidak sempat menaikinya dan hanyut dibawa arus deras," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairol berkata, mangsa diselamatkan oleh bot yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan.

"Mangsa yang hilang memakai baju hitam putih, seluar panjang dan memakai jaket keselamatan.

"KM SETIA yang sedang beroperasi di sekitar perairan Bintulu telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan usaha pencarian mangsa," katanya.

Berita Harian X