Sabtu, 25 Jun 2022 | 11:29pm
Pasukan bomba melakukan pencarian kenderaan yang disyaki terjunam ke dalam sungai di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil. NSTP/IHSAN BOMBA
Pasukan bomba melakukan pencarian kenderaan yang disyaki terjunam ke dalam sungai di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil. NSTP/IHSAN BOMBA

Tiga beranak dikhuatiri lemas, kereta terjunam dalam sungai

BALING: Nasib tiga beranak belum diketahui selepas kereta yang dinaiki mereka dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata ketiga-tiga mangsa terbabit ialah Mashitoh Ibrahim, 37, dan dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq Sharudin, 5.

Beliau berkata, Mashitoh adalah guru agama di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, Kuala Ketil.

Katanya, insiden membabitkan sebuah kereta yang disyaki terbabas dan terjunam ke dalam sungai di jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil.

"Sebuah bot penyelamat dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya cuba mengesan mangsa di dalam sungai dengan menggunakan teknik `grappling iron'.

"Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian pada jam 6.42 petang tadi.

Beliau berkata, keadaan sungai itu berarus deras manakala tebingnya agak tinggi iaitu tiga meter, selain kedalamannya melebihi tiga meter.

Katanya, operasi turut dibantu beberapa bot penduduk kampung.

Setakat ini, katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kedah sudah dimaklumkan bagi membantu pencarian.

Berita Harian X